Speeches
Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2021 (1442H)
Deliver on 13 May 2021

Click here for Hari Raya Aidil Fitri 2021 pdf files.

PERUTUSAN

YANG AMAT BERHORMAT

DATUK PATINGGI (DR) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI

BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG,

KETUA MENTERI SARAWAK

SEMPENA

HARI RAYA AIDIL FITRI 2021 (1442H)



Allahu Akbar

Allahu Akbar

Allahu Akbar

Walillaahi Ilham


Assalamu’alaikum  Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sarawakku Sayang

 
Saudara/ saudari Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T

Alhamdulillah, marilah kita menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan hidayah dan keizinan-Nya jua sekali lagi kita dapat menyempurnakan ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri yang mulia dalam suasana yang aman walaupun terpaksa menghadapi segala cabaran akibat wabak COVID-19.

Bersempena dengan hari yang mulia ini, saya dan isteri serta keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat, khususnya anak Sarawak di mana sahaja saudara dan saudari berada.

Ini kali kedua kita terpaksa merayakan hari Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan yang terhad dari banyak segi. Cabarannya begitu hebat kepada Umat Islam namun, saya percaya kekangan yang terpaksa ditempuhi tidak akan melemahkan iltizam kita untuk meraih sebanyak mungkin keampunan dan Rahmat berlipat ganda dalam bulan Ramadan ini. Seterusnya meraikan kemenangan dengan rasa syukur atas  nikmat kesabaran menunaikan ibadah puasa selama sebulan bersama-sama umat Islam di seluruh dunia.

Dalam menyambut Aidil Fitri pada tahun ini, saya menyeru supaya kaum Muslimin terus berhati-hati dan mematuhi segala SOP dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak SDMC melalui Majlis Islam Sarawak mengenai Takbir Hari Raya, Solat Sunat Adilfitri dan lain-lain.

Aktiviti-aktiviti yang tidak dibenarkan termasuk jamuan selepas solat Aidil Fitri di masjid dan surau, takbir dari rumah ke rumah dan rumah terbuka. Elakkanlah daripada menziarah kubur, berhimpun secara beramai-ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal, dan elakkan juga daripada membuat perjalanan merentasi daripada satu zon ke zon yang lain tanpa kebenaran pihak Polis, terutamanya daripada zon merah.

Di zon-zon atau kawasan di mana Perintah Pergerakan Kawalan Diperketatkan atau PKPD sedang dilaksanakan Solat Sunat Aidilfitri, ziarah Hari Raya dan ziarah kubur, maaf, tidak dibenarkan. Kita faham, hasrat dan rasa hati untuk meraikan kemenangan ini bersama ahli keluarga dan sahabat handai, yang masih hidup, juga titipan doa bagi yang telah meninggal dunia, namun dalam keadaan penularan wabak ini, ajaran agama mengajak kita agar memberi keutamaan kepada keselamatan nyawa dan kesihatan tubuh badan demi kesejahteraan hidup di dunia.

Rujuklah selalu maklumat terkini dan terperinci yang dikeluarkan oleh pihak SDMC mengenai SOP berkenaan demi keselamatan kita semua.


Saudara dan saudari yang saya hormati,
 
Peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini membimbangkan semua kita. Sarawak adalah antara negeri teratas dari segi jumlah kes harian mengatasi negeri-negeri lain untuk beberapa minggu. Keadaan yang agak terkawal sebelum ini dengan jumlah kes berada pada tahap dua angka bertukar menjadi keadaan yang mendatangkan keresahan  kepada kita semua.

SDMC telah menerima kritikan awam. Walaupun berhadapan dengan cabaran yang hebat ini,  saya yakin itu semua tidak mematahkan semangat ahli-ahli SDMC untuk terus berusaha bagi melakukan yang terbaik untuk mengekang penularan COVID-19 dengan mengambilkira data dan faktor yang berkaitan.

Dalam pada suasana statistik COVID-19 meningkat secara mendadak kebelakangan ini, SDMC telah membuat keputusan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasar kepada pengalaman lampau. Dan berpandukan kepada data dan keadaan di lapangan pihak SDMC terus mengenakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di tempat-tempat di mana berlaku kes-kes jangkitan. Ini adalah sejajar dengan dasar “Jejak, Uji, Kuarantin, Sisih” dan didapati inilah kaedah yang lebih praktikal berbanding dengan “menutup” seluruh daerah atau negeri yang terlibat dengan melaksanakan PKP. 


Kerajaan Negeri juga mengambil kira impak PKP terhadap kegiataan ekonomi di negeri ini. Melaksanakan PKP secara menyeluruh akan mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi negeri yang sudahpun menerima tamparan yang hebat ekoran PKP dan PKPB setahun yang sudah. Ekonomi negeri harus terus dijana supaya rakyat kita tidak hilang pekerjaan dan program pembangunan terus terlaksana.


Saudari dan saudari yang dirahmati Allah,

Ketika ini dalam suasana dunia mengalami peningkatan jangkitan secara mendadak sekali lagi, seperti di India, Sarawak memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk mengekang jangkitan di samping melaksanakan program imunisasi bagi 2.08 juta rakyat kita yang layak menerima vaksin.

Saya menyeru agar semua rakyat Sarawak yang layak diberi vaksin untuk mendaftar bagi pemberian vaksin samada melalui aplikasi MySejahtera atau kaedah-kaedah lain di tempat masing-masing.

Kerajaan Sarawak sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi termasuk berunding dan membuat perolehan sendiri dari pembekal supaya program imunisasi di negeri ini mampu diselesaikan menjelang Ogos hadapan. Kerajaan Negeri perlu mendapat kebenaran Kerajaan Persekutan dan agensi-agensi berkaitan sebelum tempahan vaksin boleh dibuat oleh Sarawak.

Di samping itu, Kerajaan Negeri juga perlu mendapat kebenaran Kerajaan Persekutuan untuk mewartakan hospital-hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin untuk mempercepatkan proses imuninasi khususnya di kawasan bandar.

Setakat ini COVID-19 telah mengorbankan banyak nyawa di Sarawak. Harga setiap nyawa tidak dapat dinilai. Oleh itu Kerajaan GPS memberi keutamaan kepada usaha untuk memerangi COVID-19. Perkara-perkara lain seperti pilihanraya negeri boleh dikemudiankan sehingga keadaan mengizinkan.

 

Saudara dan saudari sekalian,

Bersempena Aidil Fitri tahun ini, saya mengajak seluruh rakyat Sarawak pelbagai bangsa, keturunan, agama dan kecenderungan politik, khususnya kaum Muslimin, untuk terus menjaga akhlak budi pekerti dan mengukuhkan budaya hormat-menghormati antara satu sama lain. Sesungguhnya, Islam adalah Agama Fitrah, dengan keseluruhan ajarannya bermatlamatkan menjaga kemuliaan Insan sebagai manifestasi keagungan dan kebesaran Allah S.W.T.

Perpaduan rakyat kita amat penting bukan hanya pada masa senang tetapi juga dalam pada ketika negeri kita menghadapi bencana seperti pandemik COVID-19. Ini bukanlah masanya untuk kita berpecah atau berbalah antara satu sama lain, namun pihak Kerajaan tetap bersedia untuk menerima pandangan yang berbeza dan membina.

Marilah kita sama-sama merayakan hari yang mulia ini dengan semangat muhibbah dan persaudaraan antara sesama manusia tanpa mengira perbezaan agama dan keturunan walaupun dalam keadaan yang terhad dan mencabar.

Seperti pada tahun lepas, saya dan isteri tidak dapat mengadakan rumah terbuka untuk menerima kunjungan saudara dan saudari pada tahun ini. Namun, saudara dan saudari akan sentiasa berada dalam ingatan saya dan Datuk Amar Hajah Juma’ani.

Akhir kata, saya dan isteri serta keluarga dengan ikhlas hati mengucapkan “SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN” kepada seluruh rakyat Negeri Sarawak.

 

Sekian. Wabillahitaufiq Walhidayah Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 
Speeches By: YAB DATUK PATINGGI (DR) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG