Speeches
PROJEK PEMBINAAN BANGUNAN TAMBAHAN HOSPITAL MIRI, SARAWAK (REKA DAN BINA) - TENDER SEMULA
Deliver on 28 Oct 2020

Click here for Teks Ucapan Perasmian Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Miri Sarawak pdf files.

 

TEKS UCAPAN PERASMIAN OLEH

YAB DATUK PATINGGI (DR) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG

KETUA MENTERI SARAWAK 

DI  MAJLIS PECAH TANAH

BAGI

PROJEK PEMBINAAN BANGUNAN TAMBAHAN HOSPITAL MIRI, SARAWAK (REKA DAN BINA) - TENDER SEMULA

 

 

Terima kasih saudara/saudari pengacara majlis. 

  

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Ibu Pertiwiku

 

1.             Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izinNya jua kita dapat berkumpul pada pagi ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput saya untuk menyempurnakan perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Miri, Sarawak secara Reka dan Bina – Tender Semula ini.

 

2.             Sebelum meneruskan ucapan saya memohon izin untuk menceritakan serba sedikit sejarah Hospital Miri ini. Hospital Miri adalah hospital menengah yang menyediakan perkhidmatan kesihatan di Wilayah Utara Negeri Sarawak untuk kemudahan masyarakat Miri dan sekitarnya.

3.     Hospital Miri yang terletak di Jalan Cahaya, 2.5 km dari pusat bandar Miri mempunyai keluasan sebanyak 71.67 ekar. Hospital ini mula beroperasi pada 6 Mei 1996 dan dibuka secara rasmi oleh mantan Ketua Menteri Sarawak Tun Pehin Sri Datuk Patinggi (Dr) Hj. Abdul Taib Bin Mahmud pada 30 Ogos 1996. Hospital Miri sedia ada mempunyai 339 katil.

 

 

 

KEPERLUAN PROJEK BERDASARKAN POPULASI PENDUDUK

4.     Untuk makluman hadirin sekalian, merujuk kepada maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2010 yang mana Banci Penduduk dan Perumahan dilakukan setiap 10 tahun sekali oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, tiga bahagian di Wilayah Utara Sarawak iaitu Bintulu dengan populasi 220,048 orang, Miri dengan populasi 365,561 orang dan bahagian Limbang dengan populasi 86,571 orang. Ini menjadikan jumlah penduduk di wilayah utara sarawak berjumlah 650,343 orang berbanding 823 katil hospital.

5.     untuk tujuan cadangan ini, unjuran populasi untuk miri pada tahun 2025 berdasarkan pertumbuhan 1.3% setahun dijangkakan 428,657 orang dan untuk Wilayah Utara Sarawak disasarkan berjumlah 789,376 orang.

6.     Hospital Miri sedia ada perlu ditambah baik bagi mewujudkan lebih banyak ruang untuk menampung rancangan pengurusan dengan meningkatkan kapasiti katil, kepakaran perubatan, pertambahan kakitangan dan perkhidmatan sokongan bagi memastikan perkhidmatan berupaya menangani keperluan penduduk Miri dan Wilayah Utara Sarawak yang semakin meningkat.

7.     Oleh demikian, atas justifikasi tersebut projek Bangunan Tambahan Hospital Miri ini  dilaksanakan bagi memenuhi keperluan segera penduduk di Miri dan seluruh Wilayah Utara.  

 

 

Yang Berhormat, Datuk Amar, Datu-Datu/Dato-Dato, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan,

8.     Pelaksanaan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Miri, Sarawak ini  adalah inisiatif kerajaan  untuk menyediakan prasarana bagi perkhidmatan perubatan bercorak penggalakan, pencegahan, rawatan dan pemulihan yang cekap, sesuai dan berkesan kepada masyarakat dengan jaminan kualiti, kos dan masa yang efisien setaraf dengan pembangunan di Miri, Sarawak.

9.     Projek ini adalah “touch point” kepada rakyat  di negeri Sarawak. Projek ini pastinya akan diberikan penekanan utama supaya peningkatan kualiti kemudahan perubatan dapat diwujudkan dan segala kemudahan asas, prasarana perubatan dan infrastruktur yang kondusif dapat diwujudkan dalam persekitaran yang selesa dan sempurna.

 

10.   Hasil jalinan kerjasama di antara pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Kontraktor, saya berharap proses pelaksanaan projek hospital ini dapat dijayakan dengan cepat, cekap, efisien dan telus.  

 

 

 

 

 

TUJUAN PELAKSANAAN PROJEK

Hadirin yang dihormati sekalian, 

11.           Pada tahun 2016, melalui RMK-11, RP1  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan peruntukan sebanyak RM 340  Juta melalui Peruntukan Pembangunan bagi pelaksanaan Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Miri, Sarawak yang turut melibatkan kerja tanah & rawatan tanah.

 

12.           Projek Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Miri, Sarawak ini dilaksanakan oleh Kontraktor Riaplus Sdn Bhd dengan kontrak bernilai RM289.2 Juta sebagaimana yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia dengan tempoh pembinaan selama 173 minggu yang telah bermula pada 25 Jun 2020  dan dijangka siap pada 18 Oktober 2023.

 

13.   Dikesempatan ini, saya ingin  merakamkan ribuan terima kasih atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan dalam pelaksanaan projek Hospital Miri ini oleh semua pihak terutamanya:

 

i.      Kementerian Kerja Raya

ii.      Jabatan Kerja Raya Malaysia

iii.     Kementerian Kesihatan Malaysia

iv.     Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak

v.     Pihak Hospital Miri dan Kakitangan

 

 

 

 

 

 

14.   Tidak lupa juga ucapan tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak kontraktor, Riaplus Sdn Bhd yang telah menggembleng tenaga menganjurkan majlis kita pada hari ini.

 

15.   Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua yang terlibat dalam projek ini dan saya berharap projek ini dapat disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan.  

 

16.   Dengan ini, dengan lafaz Bismillahirahmanirahim saya merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Miri, Sarawak secara Reka dan Bina – Tender Semula ini.

 

Sekian, wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

Speeches By: YAB Datuk Patinggi Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg