Speeches
Majlis Sambutan Hari Jadi ke-84 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak
Deliver on 10 Oct 2020

Click here for pdf files.

 

 

TEKS UCAPAN

YAB KETUA MENTERI

BERSEMPENA MAJLIS

SAMBUTAN HARI JADI KE-84

TUAN YANG TERUTAMA YANG

 DI-PERTUA NEGERI SARAWAK

 

 

Ucapan Terima Kasih Kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak

 

1.  Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud serta,

 

2.  Yang Amat Berbahagia, Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib.

 

3.  Pertamanya kola mewakili rakyat jelata ingin merakamkan setinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama Tun sempena Hari Lahir Tun yang ke-84.

 

4.  Kola dan rakyat sentiasa berdoa agar Tun sentiasa dikurniakan dengan kesihatan dan dilindungi oleh Allah S.W.T.

 

5.  Kola juga mewakili rakyat jelata menjunjung sembah tanda terima kasih atas sumbangan TYT Tun kepada pembangunan negeri Sarawak selama ini. Sejarah telah membuktikan TYT Tun telah melalui perjalanan yang panjang dalam menentukan halatuju Sarawak seperti yang dinikmati oleh rakyat hari ini.

 

6.  Tuan Yang Terutama Tun sentiasa meletakkan pembangunan sosio-ekonomi dan kestabilan politik negeri Sarawak sebagai agenda utama dalam pembangunan Negeri Sarawak.

 

7.  Tuan Yang Terutama Tun adalah lambang perpaduan rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan berbilang agama. Perpaduan dalam kepelbagaian merupakan identiti utama Sarawak yang perlu terus dipupuk dan dipertahankan sampai bila-bila.

 

8.  Kesungguhan Tuan Yang Terutama Tun ketika menjadi ketua pentadbiran negeri dalam merencanakan pembangunan negeri, juga dilatari oleh perpaduan kaum yang utuh dan saling ingin bertolak ansur.

 

9.  Sekarang kola mohon berucap kepada hadirin.

 

Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS)

 

  1. Terima kasih kepada hadirin sekalian yang sudi hadir bersempena Hari Lahir Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri yang ke-84. Semoga dengan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan majlis kita pada malam yang berbahagia ini akan menjadi lebih meriah dan berseri walaupun dalam keadaan kita terpaksa patuh kepada SOP untuk menangani gelaja COVID-19.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

  1. Sebagai ketua pentadbiran Kerajaan Sarawak di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun saya ingin berkongsi beberapa aspek program pembangunan Negeri Sarawak yang telah dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini untuk meletakkan Sarawak di persada pembangunan yang tinggi.

 

  1. Tidak dapat dinafikan pandemik COVID-19 mendatang impak negatif yang amat mendalam kepada rakyat. Untuk meringankan beban rakyat, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang prihatin telah menyediakan pelbagai bantuan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS). Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM2.55 bilion untuk tujuan melaksanakan tiga pakej BKSS. Saya amat percaya BKSS dapat memberi sedikit kelegaan kepada para peniaga, keluarga, orang perseorangan, industri kecil dan golongan lain yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

  1. Walaupun kita masih belum berjaya sepenuhnya menangani pendamik COVID-19, tetapi penularannya telah menunjukkan tanda penurunan. 

 

  1. Saya berpuashati dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak seperti mereka yang berada di barisan hadapan yang bertungkus lumus dan begitu komited dalam menjalankan tugas mereka. Tahniah juga kepada rakyat kita yang sangat berdisiplin dengan mematuhi saranan kerajaan terutama dalam fasa PKPP ini.

 

Ekonomi Pasca COVID19 Dan Agenda Pembangunan 2030

 

  1. Untuk mencapai status Sarawak sebuah negeri maju  berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, Sarawak perlu meraih pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.0 peratus dan ia tidak boleh berada dalam lingkungan 5.0 peratus seperti sekarang.

 

  1. Walaupun kadar ini agak tinggi, kita perlu melakukan strategi lompatan dan memberi tumpuan kepada sektor utama dengan mengandakan KDNK daripada RM133 bilion setahun kepada RM 282 bilion menjelang tahun 2030.

 

  1. Untuk itu, pada 6 Mei 2020 Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (SEAC), khususnya dalam memacu dan merangka strategi pemulihan ekonomi pasca Covid-19 sehingga 2030.

 

  1. Strategi yang dirangka adalah berteraskan 3 tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi,  masyarakat  inklusif dan kelestarian alam sekitar.

 

  1. SEAC juga mengkaji dan menilai cadangan daripada pihak awam, swasta, para professional dan ahli akademik agar setiap cadangan dan pelan dirancang memberi manfaat kepada semula golongan rakyat negeri Sarawak.

 

  1. SEAC juga merangka pelan pemulihan ekonomi ekoran kesan pendamik COVID-19 melalui perincian yang mendalam ke atas Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Saya berharap dengan kerjasama semua pihak, strategi ini akan dapat membuahkan hasil dan memberi daya tahan ke atas ekonomi negeri, terutama dalam situasi yang sangat mencabar ini.

 

  1. Kerajaan telah menggariskan lapan (8) sektor ekonomi utama dan mengenalpasti inisiatif Catalytic dalam strategi pemulihan ekonomi pasca COVID-19 sehingga tahun 2030 iaitu:

 

(i)      Pembangunan Sektor Perlombongan;

(ii)    Peningkatan Produktiviti Tahap Tinggi Sektor Pertanian Komersial dan Komoditi

(iii)   Memajukan Perkilangan Hiliran Bernilai Tinggi;

(iv)  Usaha Penanaman Semula Hutan Secara Besar-besaran;

(v)    Merangka Kepelbagaian Pelancongan;

(vi)      Peningkatan Kualiti Khidmat Sosial Kepada Rakyat;

(vii)    Pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharu;

(viii)   Pembangunan Pendidikan dan Sumber Manusia.

 

  1. Sektor-sektor ekonomi ini nanti akan didorong dan diupayakan melalui tranformasi digital, inovasi dan keusahawanan, pendidikan, infrastruktur, pengangkutan dan utiliti. Semua usaha ini adalah bermatlamatkan negeri maju dengan purata pendapatan isirumah melonjak daripad RM 5,000 kepada RM 16,000 menjelang tahun 2030.

 

  1. Saya ingin memaklumkan tonggak kedua, iaitu Kerajaan GPS mengambil pendekatan inklusif dan prihatin dalam setiap pembangunan yang dirancang. Hampir semua kelompok masyarakat sama ada golongan isirumah yang berpendapatan rendah, orang kelainan upaya, golongan tidak menamatkan persekolahan, suku kaum minoriti dan lain-lain telah diberi perhatian tanpa ada penyisihan.

 

  1. Kerajaan GPS berazam untuk mengurangkan kadar golongan isirumah berpendapatan rendah daripada 53% kepada 30% dalam tempoh 10 tahun yang akan datang.

 

  1. Prinsip kelestarian alam sekitar adalah menjadi pegangan kita dalam setiap aspek pembangunan sebagai tonggak ketiga yang mesti dilaksanakan. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri yang bersih, sihat yang akan menjadi legasi generasi akan datang.

 

  1. Kita amat berbangga kerana lebih 60% keluasan negeri kita masih dilitupi oleh hutan. Kerajaan Negeri sentiasa meningkatkan usaha untuk menanam semula hutan yang ada menerusi program perhutanan semula di kawasan-kawasan yang telah diterokai.

 

Pusat Data dan Inovasi

 

  1. Kerajaan kini sedang giat meningkatkan keupayaan Pusat Data dan Inovasi khususnya dalam memenuhi keperluan sektor ekonomi tempatan dan dunia.  Pusat data dan inovasi ini yang kini di bangunkan di Sarawak akan memainkan peranan utama dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri kita.

 

  1. Pada masa kini data raya atau big data merupakan “new oil” dalam ekonomi. Keperluan dan peningkatan keupayaan Pusat Data dan Inovasi ini akan menyokong keperluan semua cabang perkhidmatan digital yang dibangunkan seperti  Digital ID, Digital Wallet, Big Data, Blockchain, Fintech, Virtual Reality, Augmented Reality and Artificial Intelligence.

 

Pembangunan Sektor Perlombongan

 

  1. Sarawak amat bertuah kerana dilimpahi dengan kekayaan sumber seperti minyak, gas asli, pasir silica, arang batu, tanah liat dan banyak lagi. Pada masa kini, Kerajaan Negeri sedang merancang dengan teliti agar pembangunan sumber-sumber ini akan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan kemakmuran rakyat kita.

 

  1. Semua sektor perlombongan akan menjadikan keupayaan Teknologi IR 4.0 melalui pusat data dan inovasi dalam merancang dan membangunkan sumber yang ada lebih-lebih lagi dalam sektor minyak dan gas. Produktiviti dan kecekapan operasi dan pengeluaran dapat dipertingkatkan.

 

  1. Sektor perlombongan yang berteraskan kelestarian mesra alam dan teknologi IR 4.0, dijangka akan melonjakkan lagi kadar pertumbuhan ekonomi negeri Sarawak dengan menyumbang lebih RM 5.0 billion kepada KDNK Sarawak.

 

Pembangunan Luar Bandar

 

  1. Pelbagai program pembangunan yang sedang dirancang atau dilaksanakan adalah pengisian kemerdekaan yang sebenarnya yang menjadi perjuangan utama Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

 

  1. Pembangunan yang dilaksanakan telah melingkari seluruh negeri ini dari kawasan bandar hingga ke luar bandar. Pembinaan Sembilan (9) buah jambatan menghubungkan semua kawasan pesisir Sarawak adalah tanda Kerajaan GPS berjuang untuk rakyat.
  2. Kita akan terus mengembangkan infrastruktur, industri baharu, teknologi, pertanian komersial bagi menghasilkan lebih banyak makanan dan melahirkan lebih ramai orang berkemahiran dari luar bandar.

 

  1. Pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak sepanjang 786 kilometer yang mula dibina pada Oktober 2015 yang menghubungkan Telok Melano di selatan hinggalah ke Lawas di utara Sarawak, telah mula kembali menunjukkan kemajuan yang pesat.

 

  1. Malah pada masa yang sama, Kerajaan GPS juga akan melaksanakan pembinaan lebuhraya kedua (Second Trunk Road) yang akan memendekkan lagi perjalanan dari Kuching ke kawasan tengah iaitu Sarikei, Sibu dan Kapit. Jalan pesisir yang sedia ada juga akan dipertingkatkan kualitinya.

 

  1. Saya ingin memaklumkan bahawa kini rakyat kita yang tinggal di Bahagian Kapit tidak lagi terpinggir daripada arus pembangunan. Jalan Sibu-Kapit sudah boleh dilalui walaupun belum siap sepenuhnya. Jalan raya ini sudah pasti akan memberi keselesaan kepada warga Kapit dan merupakan kemudahan infrastruktur yang amat penting untuk pembangunan kawasan Kapit. Saya yakin sektor pelancongan kawasan Kapit dan Baleh akan dapat berkembang dengan lebih pesat lagi kerana tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan air lagi.

 

  1. Pembangunan sektor utiliti juga adalah menjadi keutamaan Kerajaan iaitu memperluaskan bekalan daripada bandar hingga ke luar Bandar. Pada masa ini secara keseluruhan lebih 84% bekalan air terawat telah disediakan di Sarawak, dengan penduduk di bandar hampir sepenuhnya mendapat bekalan air terawat dan setakat ini 67% bagi penduduk di luar bandar. 
  2. Saya ingin memaklumkan juga 97% penduduk Sarawak telah menikmati bekalan eletrik 24 jam dan statistik menunjukkan bahawa lebih 93% kawasan luar Bandar di Sarawak telah menikmati bekalan elektrik.

 

Pendidikan dan Pembangunan Belia

 

  1. Pembangunan sumber manusia bertaraf dunia adalah faktor yang amat penting untuk melonjakkan pembangunan negeri Sarawak ke arah Industri 4.0. Kerajaan Negeri akan membangunkan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSSIS) dengan menggunakan sukatan pelajaran International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang ditawarkan oleh pihak Cambridge Assessment International Education Board.

 

  1. Pembinaan sekolah antarabangsa pertama di Semenggok yang telah dilancarkan pada 22 September lepas adalah bukti iltizam Kerajaan GPS untuk menyediakan wadah kepada kejayaan anak-anak muda Sarawak di bidang pendidikan bertaraf dunia.

 

Penutup

 

  1. Bersempena Ulang Tahun Hari Lahir Ke-84 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, saya mengajak anda semua untuk sama-sama berdoa agar kita terus diberi hidayah oleh Tuhan Yang Maha Esa supaya sentiasa menuju jalan kebenaran dalam usaha menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030.

 

  1. Akhir kata, saya sekali lagi bagi pihak rakyat jelata mengucapkan selamat menyambut Hari Lahir ke-84 kepaaa Tuan Yang Terutama Tun dan semoga Tun dan keluarga sentiasa beroleh rahmat dan berkat dari Allah SWT dalam menjalani kehidupan seharian serta hidup aman bahagia dan sejahtera selalu.

 

Sekian, Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

Speeches By: YAB DATUK PATINGGI DR ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG