Speeches
Perutusan Hari Raya Aidiladha 2020
Deliver on 31 Jul 2020

Click here for Hari Raya Aidiladha pdf files.

 

PEJABAT KETUA MENTERI SARAWAK
OFFICE OF THE CHIEF MINISTER SARAWAK

 

 

PERUTUSAN YAB KETUA MENTERI SARAWAK

SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA

PADA 31 JULAI 2020/10 ZULHIJJAH 1441H

 

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd.

  1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmatNya yang tidak terhingga pada 10 Zulhijjah 1441 Hijrah, seluruh umat Islam dapat menyambut Hari Raya Aidiladha. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.
  2. Ketibaan Aidiladha setiap tahun sentiasa mengingatkan kita tentang sejarah Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail AS kerana ketaatannya kepada perintah Allah SWT. Sejarah ini berlaku sebagai pedoman dan petunjuk bagi umat Islam untuk mengorbankan harta dan jiwa demi keimanan kepada Allah SWT.
  3. Sempena Aidiladha ini marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan menelusuri sejarah para anbiya’ yang sentiasa taat kepada perintah Allah SWT dan sanggup berkorban apa saja demi keredhaan kepada Allah SWT.

 

  1. Di sebalik sirah Nabi Ibrahim, jelaslah bahawa sesungguhnya pengorbanan yang ikhlas dan mendambakan keredhaan Allah SWT akan disusuli dengan bantuan dan pertolongan Allah SWT sebagaimana firmanNya di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 207 yang bermaksud :

“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah SWT, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya.”

  1. Ketika ini negeri dan negara kita sedang berhadapan dengan penularan jangkitan COVID-19. Daerah Kuching dikategorikan semula sebagai Zon Merah kerana jumlah jangkitan yang telah meningkatan kepada dua angka. Sekatan dan protokol yang dikenakan untuk mengekang penularan virus Corona membawa banyak kesulitan kepada kehidupan sehari-harian kita. Janganlah diambil mudah SOP-SOP yang dikuatkuasakan kerana kita perlu mengorbankan segala keselesaan kehidupan yang biasa kita nikmati demi keselamatan kita semua daripada COVID-19.
  2. Bagi saudara dan saudari yang berada di Zon Hijau saya amat berharap dan berdoa agar anda sentiasa patuh kepada arahan pihak berkuasa dan kepada protokol yang dikenakan, khususnya penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka supaya Zon Hijau terus hijau. 
  3. Marilah kita bersama-sama meraikan hari kebesaran ini dengan penuh rasa kesyukuran dan keimanan, disamping mengukuhkan silaturrahim agar dapat melahirkan satu ummah yang bukan sahaja memperoleh kejayaan di dunia, malah dinaungi payung rahmat Allah SWT di akhirat nanti.
  4. Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Tarikh: 30 Julai 2020

Speeches By: YAB DATUK PATINGGI DR ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG