Speeches
Sambutan Jubli Mutiara JAIS 2020
Deliver on 15 Aug 2020

Click here for Sambutan Jubli Mutiara JAIS pdf files.

 

INTIPATI UCAPAN

YANG AMAT BERHORMAT

KETUA MENTERI SARAWAK

SEMPENA SAMBUTAN JUBLI MUTIARA

JABATAN AGAMA ISLAM SARAWAK

15 OGOS 2020M

 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته، بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

 

UCAPAN KEPADA TYT YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK

 

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud serta Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib.

 

Menjunjung kasih Tuan Yang Terutama Tun serta Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi atas kesudian hadir dalam Majlis Kesyukuran Jubli Mutiara Jabatan Agama Islam Sarawak pada malam ini. Sesungguhnya kehadiran Tuan Yang Terutama Tun serta Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi melambangkan komitmen yang sungguh tinggi dalam memartabatkan syiar Islam.

 

Kami rakyat jelata sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan serta umur yang panjang kepada Tuan Yang Terutama Tun serta Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi dalam memayungi kedaulatan pemerintahan Kerajaan Negeri Sarawak. Izinkan kaula untuk berucap sepatah dua kata kepada para hadirin.

 

UCAPAN KEPADA HADIRIN

 

Salutasi

 

Alhamdulillah bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana pada malam ini kita dapat bersama-sama mengecapi satu lagi nikmat kurniaan Allah SWT iaitu dengan menyambut Jubli Mutiara atau Ulang Tahun Ke-30 penubuhan Jabatan Agama Islam Sarawak. Ini merupakan satu lagi tanda komitmen Kerajaan Negeri dalam usaha memartabatkan Agama Islam di negeri kita ini di samping tanggungjawab untuk memelihara keharmonian hidup Bersama dengan penganut agama-agama yang lain.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian, Islam dipercayai telah mula bertapak di Sarawak selewat-lewatnya pada kurun ke-16 Masehi melalui pengaruh Kesultanan Melayu Brunei Darussalam. Pertabalan Sultan Tengah sebagai Sultan Sarawak Darul Hana pada tahun 1599 Masehi dianggap sebagai detik rasmi bertapaknya Islam di Sarawak.

 

Belumpun sempat Islam berkembang dengan baik, Sarawak telah diserahkan kepada Brooke dan Brooke ketika itu telah menubuhkan Mahkamah Datu-Datu (Datu’s Court) bagi mengendalikan urusan umat Islam. Memandangkan agama Islam ketika itu kurang mendapat perhatian daripada pihak pemerintah, maka beberapa orang ulama Sarawak yang diketuai oleh Mufti Abang Haji Nawawi telah mengambil inisiatif menubuhkan Majlis Shuyukh Al-Islam bagi mengimbangi peranan mahkamah tersebut.

 

Pada era Koloni British pula, Kerajaan British telah menggubal Ordinan Majlis Islam (Pemerbadanan), Bab 105 pada 17 Disember 1954 dengan hasrat untuk menubuhkan satu badan bagi menjaga Hal Ehwal Agama Islam dalam negeri. Akhirnya pada 1 Mei 1955, Majlis Islam yang pertama telah ditubuhkan. Majlis Islam ketika itu sehingga pertengahan tahun 1990 adalah berperanan sebagai badan penggubal dasar hal ehwal Islam sekaligus bertindak sebagai pelaksana.

 

Perjalanan Majlis Islam yang memainkan dua peranan ini secara serentak dilihat kurang berkesan untuk menjaga kesejahteraan ummah serta menggerakkan misi penyebaran dan pengembangan Islam. Akhirnya dalam era Sarawak merdeka, Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Jabatan Agama Islam Sarawak yang telah mula beroperasi dengan rasminya pada 17 Ogos 1990.

 

Setelah JAIS ditubuhkan, Majlis Islam bertindak sebagai badan penggubal dasar hal ehwal Islam, manakala JAIS berperanan sebagai badan pelaksana. Gabungan ini telah memantapkan lagi usaha untuk memartabatkan Islam dan menjaga kesejahteraan ummah di negeri ini.

 

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT, setelah tiga dekad berlalu, Jabatan Agama Islam Sarawak telah berkembang pesat bermula dengan hanya 178 jawatan pada tahun 1990, kini berjumlah 477 jawatan dan bermula dengan lima (5) bahagian sahaja di ibupejabat pada masa penubuhannya berkembang kepada 10 bahagian dengan peruntukan kewangan yang banyak bagi menggerakkan operasi JAIS di seluruh negeri.

 

Ini menggambarkan komitmen yang sangat tinggi oleh Kerajaan Negeri dalam usaha untuk melihat kesejahteraan ummah terbela dan agama Islam diperkasakan serta dapat berkembang secara harmoni dalam masyarakat pelbagai agama di negeri kita ini.

 

Banyak lagi usaha-usaha lain yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan agama Islam tetap terpelihara dan umatnya terbela termasuk melalui Agensi-Agensi Islam yang lain seperti Jabatan Mufti Negeri Sarawak dan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak.

 

Dalam masa yang sama, sebagai Kerajaan yang menjaga kepentingan semua pihak termasuk agama-agama yang lain di negeri ini, maka Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan UNIFOR dan memberikan hak-hak yang sewajarnya untuk mereka demi memelihara keharmonian hidup serta menzahirkan prinsip adil dan saksama yang menjadi teras dalam ajaran Islam.

 

Alhamdulillah saya cukup berbangga dengan pencapaian-pencapaian yang telah ditempa oleh Jabatan Agama Islam Sarawak selaku sekretariat kepada Majlis Islam Sarawak dan juga Agensi-Agensi Islam yang lain. Antara yang cukup membanggakan kita ialah dalam bidang Tilawah Al-Quran kita pernah dinobatkan sebagai johan pada peringkat Antarabangsa.

 

Dalam bidang Pendidikan, kita juga telah memiliki sebanyak dua (2) buah Sekolah Menengah Agama dan sembilan (9) buah Sekolah Rendah Agama yang juga telah mencapai kecemerlangan sehingga ke peringkat Kebangsaan dan peringkat Antarabangsa.

 

Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada JAIS kerana telah menyahut seruan di bawah Dasar Ekonomi Digital Kerajaan Negeri Sarawak melalui pewujudan aplikasi penyampaian perkhidmatan secara dalam talian seperti e-Masjid (pengurusan hal ehwal masjid), e-Hidayah (pendaftaran pengislaman), e-Dakwah (pengurusan tauliah dan lain-lain), e-Munakahat (pengurusan nikah, cerai & ruju’), LIBMAS (pengurusan perpustakaan) dan kemuncak kepada pencapaian inisiatif kerajaan elektronik JAIS ialah pelancaran aplikasi Khidmat Islam Sarawak (KISWA) pada tahun 2020 baru-baru ini yang mengintegrasi semua aplikasi dalam talian JAIS dengan beberapa tambahan aplikasi baharu serta jaringan aplikasi agensi-agensi Islam yang lain.

 

Saya berharap JAIS dan juga Agensi-Agensi Islam yang lain di negeri Sarawak ini akan terus mempertingkatkan lagi usaha dalam memartabatkan syiar Islam dan dalam masa yang dapat memelihara keharmonian dengan penganut-penganut agama yang lain.

 

Perkembangan pesat JAIS di awal penubuhan sehinggalah melewati tiga (3) dasawarsa ini telah menggambarkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial negeri yang dinikmati masyarakat pelbagai bangsa, etnik, adat resam & kepercayaan di negeri ini.

 

Sesungguhnya evolusi pengurusan Hal Ehwal Islam dalam menempa pencapaian yang cemerlang adalah kesan daripada kesungguhan semua warga kerja JAIS dalam mendokong amanah yang diberikan oleh kepimpinan negeri. Kecemerlangan ini juga adalah hasil jaringan kerjasama strategik oleh semua pihak khususnya pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO) dan suasana harmoni yang kita pelihara bersama. Semoga Allah SWT memberkati usaha semua pihak dalam memartabatkan Islam di bumi Sarawak Darul Hana ini.

 

Sekian, wabillahit taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Speeches By: YAB DATUK PATINGGI DR ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG