Speeches
State Level National Day Celebration 2020
Deliver on 31 Aug 2020

Click here for State Level National Day Celebration 2020 pdf files.

 

 

ADDRESS BY

YAB CHIEF MINISTER OF SARAWAK

IN CONJUNCTION WITH

STATE-LEVEL NATIONAL

DAY CELEBRATION 2020

31st AUGUST 2020, SIMANGGANG

 

 

[Salutation]

 

(A)      UCAPAN KEPADA TUAN YANG TERUTAMA

 

  1. Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud Yang Amat Berbahagia, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib,

 

  1. Bagi pihak rakyat jelata, kola menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun dan TohPuan di atas kehadiran bersama rakyat sekalian untuk meraikan Hari Kebangsaan 2020 Peringkat Negeri Sarawak di Simanggang ini.

 

  1. Kola percaya kehadiran Tun yang ditemani oleh Toh Puandi majlis sambutan pada pagi ini mencerminkan betapa tingginya komitmen Tun untuk sentiasa berada di samping rakyat dan dimaklumi dengan hal ehwal pembangunan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

 

  1. Semoga kehadiran Tun dan Toh Puan menyemarakkan lagi usaha dan semangat anak Bumi Kenyalang untuk terus bersatu  dan berganding bahu untuk membangunkan Sarawak. 
  2. Sekarang kola mohon untuk bercakap kepada hadirin.

 

[SALUTATION]

 

(B)     SELAMAT DATANG

Salam Ibu Pertiwiku dan Salam Sejahtera dan Salam Sarawakku Sayang.

  1. Saya mengucapkan selamat datang kepada semua saudara dan saudari sekalian yang sudi hadir di sini pada pagi yang berbahagia ini untuk memperingati sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.
  2. Mulai tahun 2018 kita tidak mengadakan rapat raksasa seperti tahun-tahun yang sudah dan telah diputuskan oleh Kerajaan bahawa di peringkat negeri memadailah dengan Jamuan Masyarakat,  Majlis Jamuan Teh dan aktiviti-aktiviti lain.

 

  1. Pada tahun ini, ditambah lagi dengan keadaan akibat pandemik COVID-19, lagi menghendaki sambutan ini diadakan secara sederhana, namun, tanpa terhakisnya semangat kebangsaan terhadap negara ini.

 

(C)      PENGHORMATAN KEPADA SIMANGGANG

 

  1. Tahniah kepada adik kakak kita di Simanggang  yang menjadi tuan rumah kepada aktiviti-aktiviti sempena Hari Kebangsaan pada tahun ini.

 

  1. Simanggang kembali kepada nama asalnya atas permintaan adik kakak kita di Simanggan ini. Namun, “Sri Aman” dikekalkan pada nama “Bahagian Sri Aman” untuk terus memperingati detik bersejarah perjanjian damai antara pihak Komunis dan Kerajaan Sarawak di sini pada 1973.

 

  1. Pada tahun lepas Sarikei menjadi tuan rumah. Penggiliran sebagi tuan rumah perayaan ini sudah menjadi tradisi kita yang bertujuan untuk memberi peluang kepada seluruh rakyat di Bumi Kenyalang ini untuk mengenali erti dan mengamati semangat kebangsaan yang harus ada pada setiap rakyat Malaysia.

 

(D)     FEDERALISME & SEMANGAT KEBANGSAAN

 

Saudara dan saudari sekalian,

 

  1. Pada 1963 Sarawak bersetuju untuk sama-sama menubuhkan Malaysia dengan wilayah-wilayah lain atas keperluan untuk berada di bawah payung sebuah negara yang lebih besar demi keselamatan dan kedaulatan Sarawak.

 

  1. Saya percaya alasan itu masih lagi relevan sekarang walaupun dalam suasana Sarawak berjuang untuk mempastikan hak-haknya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC dihormati dan dilaksanakan sewajarnya.

 

  1. Pada penghujung Februari lepas ketika negara kita menghadapi kemelut politik di Putrajaya dan negara  terumbang-ambing  tanpa kerajaan, Sarawak telah memilih untuk mempastikan terbentuknya sebuah Kerajaan Persekutuan yang stabil, demi semangat kebangsaan yang kita dukung dan kepentingan negara keseluruhannya.

 

  1. Konsep federalisme bukanlah suatu konsep yang tidak ada kebaikannya. Banyak negara maju juga ditadbir berasaskan konsep Kerajaan Pusat dengan beberapa keistimewaan dan hak tertentu kepada negeri-negeri seperti kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. Sarawak mempunyai hak dan keistimewaan dalam Perlembagaan yang seharusnya dimanfaatkan untuk mengangkat kemajuan ekonomi negeri ini.

 

PENGIKTIRAFAN TERHADAP HAK SARAWAK

 

Saudara dan saudari sekalian,

 

  1. Sumber minyak dan gas Sarawak adalah suatu isu yang dekat dengan hati rakyat. Polemik mengenai hak Sarawak ke atas sumber minyak dan gasnya sudahpun terjawab dengan kemenangan kepada Kerajaan Sarawak di Makhamah Tinggi baru-baru ini.

 

  1. Kerajaan Persekutuan sudah mengiktiraf hak Sarawak terhadap kuasa negeri ini ke atas sumber minyak dan gasnya. Petronas telah memberi komitmen untuk membayar cukai jualan yang dikenakan ke atas produk minyak dan gas untuk eksport seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

 

PELABURAN DALAM INFRASTRUKTUR

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

  1. Kerajaan GPS Sarawak melabur begitu banyak dalam menyediakan infrastruktur di seluruh Sarawak. Tanpa sistem infrastruktur yang efisien ekonomi Sarawak tidak akan mampu melonjak ke tahap yang lebih tinggi dan berupaya menjadi negeri maju menjelang 2030.

 

 

 

 (SRI AMAN DEVELOPMENT AREA)

 

  1. Pelan Induk pembangunan Bahagian Sri Aman juga sedang digubal untuk memperkasakan pembangunan di kawasan ini melalui Sri Aman Development Area atau SADA yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, YB Dato Sri Hajah Rohani Karim Abdul Karim.

 

  1. Kajian Pelan Induk yang sedang diusahakan akan mencadangkan bagaimana potensi Bahagian Sri Aman dalam sektor termasuk pertanian dan pelancongan dapat dioptimakan untuk mempertingkatkan status ekonomi kawasan ini.

PENGISIAN KEMERDEKAAN

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

 

  1. Pelbagai program pembangunan yang sedang dirancang atau dilaksanakan adalah pengisian kemerdekaan yang sebenarnya harus menjadi perjuangan utama kita. Usaha pengisian ini hendaklah berlaku dalam suasana aman damai dan harmonis, dan juga dalam iklim politik yang stabil.
  2. Suasana yang tidak menentu akibat ketidaktenteraman sosial dan pertelingkahan politik akan mendatangkan kerugian kepada semua. Bayangkan apa akan terjadi kepada kita semua jika kita menempuh pandemik COVID-19 tanpa sebuah Kerajaan Persekutuan yang functional. Dan bayangkan bagaimana para pelabur akan mengelak untuk datang melabur di negara atau negeri kita jika kerajaan tidak stabil seperti berlaku di banyak negara di Timur Tengah dan Afrika.

 

MALAYSIA PRIHATIN, SARAWAK PRIHATIN

 

Saudara dan saudari yang dihormati,

 

  1. Tema perayaan Hari Kebangsaan pada tahun ini ialah Malaysia Prihatin. Kalau Malaysia Prihatin, Sarawak juga prihatin.
  2. Tidak dapat dinafikan pandemik COVID-19 telah membawa kesan negatif yang begitu mendalam  kepada masyarakat dan ekonomi negeri dan negara, dan seluruh dunia.

 

  1. Kerajaan Persekutuan telah menyediakan pelbagai bantuan di bawah Bantuan Prihatin Nasional. Saya percaya rakyat Sarawak amat bertuah kerana Kerajaan GPS Sarawak juga menyediakan pelbagai bantuan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang atau BKSS 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS 3.0. Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM2.55 bilion untuk tujuan melaksanakan ketiga-ketiga pakej bantuan tersebut. 

 

  1. Saya amat berharap BKSS telah memberi sedikit kelegaan kepada para peniaga, keluarga, orang perseorangan, industri kecil dan golongan-golongan lain yang terkesan.

 

  1. Di luar bantuan BKSS, Kerajaan Sarawak tidak juga lupa kepada masalah tiada pendapatan yang di hadapi oleh ibu-ibu yang bersalin – RM450 diberi secara tunai apabila melahirkan anak. 

 

  1. Kerajaan juga ingat kepada golongan yang memerlukan pengangkutan awam – bas RM1 untuk pergi ke mana-mana di kawasan bandar telah diperkenalkan. Penumpang bas bandar telah meningkat secara mendadak daripada 13,000 pada bulan Mei kepada 250, 000 pada bulan Julai.
  2. Kesulitan yang dihadapi oleh ibu bapa untuk membayar tambang bas sekolah untuk anak-anak juga diambil perhatian oleh Kerajaan GPS – bas sekolah percuma diperkenalkan di Kuching dan kemudian kelak dikembangkan ke bandar-bandar lain termasuk Simanggang.

 

(E)      PENUTUP

 

Saudara dan saudari yang dihormati,

  1. Kita merasa bersyukur kerana Sarawak sebuah negeri yang aman dan rakyatnya sentiasa berusaha untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan mereka. Pihak-pihak yang berkunjung ke Sarawak kagum dengan semangat saling hormat menghormati antara rakyat berbilang kaum dan agamanya di negeri ini, malah ingin mencontohi cara kita di Sarawak.

 

  1. Sebagai mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya bagi pihak rakyat jelata mengucapkan setinggi terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan kerana sudi hadir bersama rakyat di Simanggang pada pagi ini untuk sama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2020.

 

  1. Terima kasih juga kepada semua yang telah menjayakan sambutan ini.

 

  1. Sekian, Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Speeches By: YAB DATUK PATINGGI DR ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG