News

Rujuk pakar sebelum tubuh Dana Kekayaan Berdaulat
Posted on : 10 Jan 2022  Source of News: Utusan Borneo Online
 

Abang Johari ditemani Uggah hadir pada Mesyuarat ertinggi PBB Kali Ke-13 di BCCK malam Ahad. -Gambar Roystein Emmor Abang Johari ditemani Uggah hadir pada Mesyuarat ertinggi PBB Kali Ke-13 di BCCK malam Ahad. -Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Kerajaan negeri akan merujuk kepada beberapa negara pakar berhubung penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat bagi mengurus kewangan negeri ke arah yang lebih mampan. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan dana melalui cadangan baharu dalam manifesto Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) itu penting bagi mengukuhkan kewangan untuk masa depan Sarawak. 

Menurutnya, dalam penubuhan dana ini, kerajaan akan merujuk kepada dana-dana yang telah berjaya seperti diusahakan oleh negara Nordik seperti Norway selain negara jiran iaitu Singapura. 

"Kedua-dua negara itu berjaya dalam menguruskan kedudukan kewangan mereka dengan cara tersendiri menerusi dana tersebut. 

"Sehubungan itu, pelaksanaan Dana Kekayaan Berdaulat ini dilaksanakan selepas kita melantik pakar yang boleh memberi nasihat berhubung penubuhannya," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Mesyuarat Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kali Ke-13 di Pusat Borneo Konvensyen Kuching (BCCK), di sini malam Ahad. 

Hadir sama Timbalan Presiden Parti PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Seri Fadillah Yusof dan Setiausaha Agung PBB Dato Sri Alexander Nanta Linggi. 

Dalam perkara berkaitan, Abang Johari yang juga Presiden PBB merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Sarawak kerana memberi kepercayaan dan keyakinan kepada GPS mentadbir Sarawak untuk lima tahun lagi.