News

Pendekatan sesuai laksana vaksin 18 tahun ke bawah dibincang - KM
Posted on : 06 Sep 2021  Source of News: The Borneo Post
 
Abang Johari ketika ditemui media selepas merasmikan majlis Hari Inovasi  dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak 2021 hari ini. Gambar oleh Rosytein Emmor Abang Johari ketika ditemui media selepas merasmikan majlis Hari Inovasi  dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak 2021 hari ini. Gambar oleh Rosytein Emmor

KUCHING: Sarawak kini sedang meneliti pendekatan sesuai pelaksanaan vaksin untuk individu berusia 18 tahun ke bawah.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia sama ada menempatkan mereka dalam suatu tempat atau pergi ke sekolah untuk diberi vaksinasi.

“Ini yang sedang dibincangkan antara Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Jabatan Pendidikan Negeri.

“Namun, yang penting kita dapat memberi vaksinasi kepada remaja berusia 12 hingga 18 tahun di negeri ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat kerana telah meluluskan vaksinasi pada golongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak 2021 di sini, hari ini.

Ditanya jenis vaksin yang akan digunakan, Abang Johari berkata beliau serahkan kepada pasukan perubatan namun kemungkinan besar adalah jenis Pfizer-BioNTech.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengumumkan proses vaksinasi COVID-19 bagi remaja berusia bawah 18 tahun di Sarawak dijangka bermula Rabu ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata ketika ini negeri itu di peringkat akhir melaksanakan persiapan untuk melaksanakan vaksinasi kumpulan berkenaan.

"Sekarang kita sedang membuat persiapan untuk melaksanakan program ini susulan pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam bahawa program yang akan dilaksanakan di seluruh negara itu akan dimulakan di Sarawak pada Rabu ini.

"Ini kerana Sarawak sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasanya sudah divaksin," katanya.

Sementara itu, Abang Johari ketika berucap pada majlis tersebut berkata, walaupun ketika ini jangkitan COVID-19 di Sarawak menunjukkan peningkatan namun ia tidak begitu serius.

“Ini disebabkan rakyat sudah mendapat vaksin dengan kebanyakan kes adalah dalam kategori 1 dan 2,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan sekarang sedang menilai mungkin suatu hari nanti COVID-19 adalah endemik.

“Ini bermakna kita perlu jaga diri sendiri dan hidup dalam keadaan sedemikian.

"Tetapi endemik ini seperti juga penyakit lain, ia menjadi normal. Jadi kita sahaja yang harus menjaga diri dan berdoa supaya kita dapat hidup dengan sihat," katanya.

  • oleh
    Marlinda Mardzuki